Wednesday, March 16, 2011

BENGKEL MAHASISWA UNGGUL (BMU) BREED : FOLLOW UP

Bismillahi walhamdulillah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Adik-adik, sahabat seperjuangan yang dikasihi Allah sekalian,

Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada sebilangan peserta BMU yang menyertai rombongan bas MMU hadir ke majlis perkahwinan Zul & Norazini tempohari. Noktah.

Hampir 3 purnama selepas program Bengkel Mahasiswa Unggul kita anjurkan bersama dengan input dan komitmen 100% daripada pihak Alumni untuk bersama-sama adik-adik sekalian mengharungi perjuangan muslim di bumi MMU Melaka. Sekadar coretan ringkas untuk bertanya khabar dan mendapatkan maklumbalas kalian.

A. Program yang telah dianjurkan adalah 100% berdasarkan input daripada penganjur iaitu IU Melaka. Objektif yang dicadangkan hanya kami olah menjadi satu program yang 'visible' untuk dihadiri oleh adik-adik semua. Seingat saya, antara objektif utamanya adalah,

1. merapatkan ukhuwwah dan mengenal rakan seperjuangan semuslim
2. berjuang bersama-sama merebut kembali kewibawaan kepimpinan muslim di MMU
3. merekrut sahabat-sahabat lain agar turut bersama dalam perjuangan yang insyaAllah akan diredhai Allah ini.

Jadi harapan kami yang telah bersengkang mata berminggu-minggu, mengorbankan secebis kehidupan manusia normal dan berkeluarga ini, adalah agar adik-adik sekalian dapat menyelami objektif ini dengan sepenuhnya. Tambahan pula ia datang daripada idea antum sekalian juga. Harapnya janganlah ada kata-kata tidak jelas objektif muncul pada saat-saat ini, kerana ia hanya akan memperlihatkan kelemahan kita mentafsir persekitaran semasa. Wal'iyazubillah jika itu yang terdetik dalam fikiran para pimpinan sekalian.

B. Sepanjang program berlangsung, pelbagai kaedah dan pendekatan telah dibuat, kerana para fasilitator sedar, pesertanya bukan sejenis akal. Ada yang jauh, ada yang dekat fikirnya. Ada yang tegak, ada yang menyimpang fikirnya. Jadi maaflah jika ada yang tidak terkejar, cuma harapan kami, bertanyalah bila ketinggalan. Mencarilah bila pemahaman itu hilang.

C. Di akhir program, kita memutuskan untuk menjalankan konsep ahli-cari-ahli. Dikenali juga dengan kaedah pengkaderan atau rekrut. Semuanya bersetuju pada masa itu. Dan harapan kami abang-kakak di sini agar persetujuan tempoh hari disusuli dengan langkah seterusnya secara SERIUS untuk mencari rekrut masing-masing. Kami sebagai abang dan kakak yang pernah berada di tempat adik-adik sekalian dapat 'merasai' kesukaran mencari rekrut ini. TETAPI, ingatlah, inilah Sunnah Rasulullah s.a.w. Bagaimana Islam yang diwahyukan oleh Jibril dapat disebarkan jika tidak ada proses rekrut dan pengkaderan? Jika terdetik di dalam hati adik-adik sekalian rasa malas mencari rekrut masing-masing, istighfarlah, kalian semakin jauh dari ajaran yang dipelopori RasulNya. Dan jika ada usaha, tetapi tidak berjaya, bergembiralah, kerana soalan Allah di hari akhirat kelak pasti kita sudah ada jawapannya. Iaitu, SAYA TELAH BERUSAHA DENGAN SEDAYA UPAYA DAN BUKANNYA REBAH MALAS DI AWAL JALAN!

D. Akhir sekali, janjinya, April ini satu pertemuan dengan kumpulan-kumpulan kecil untuk mengemaskini perkembangan program akan diadakan. Diikuti dengan program bersama para rekrut pada Jun/Julai akan datang. Harapnya sudah berhubung atau dihubungi oleh fasilitator masing-masing. Dan para fasilitator, jika belum dihubungi, pohon hubungi segera para mad'u yang sentiasa lari ini. Itulah hakikat perjuangan.


Kesimpulannya, saya cabar 4 perkara :

1. Tafsirkan objektif, dan belajar mengambil pendekatan mahu dan cuba memahami yang tersurat dan tersirat
2. Fleksibel dalam bergerak-kerja, namun satu hati dalam bermatlamat
3. Rekrut ahli. Bukan mengharapkan Allah turunkan tenteraNya membantu kita yang kurang berusaha
4. Teruskan program seperti dijanjikan bersama sebelum ini.

Gagal menyahut cabaran abang ini, maknanya, adik-adik mungkin beruntung kerana tidak perlu kerja lebih. Dan kami juga tidak rugi kerana masa akan lebih banyak untuk meneruskan kehidupan berdakwah, berkerjaya dan berkeluarga kami. Walau apa pun keputusan yang diambil, langkah seterusnya diharapkan tidak merugikan ISLAM dan UMMAH.

Fikir-fikirkanlah. Dan bincang-bincangkanlah!


Mohd Zainal Badri Mustafar

No comments: